Pelajar kolej vokasional maut dihempap pokok kelapa - Utusan Malaysia

Pelajar kolej vokasional maut dihempap pokok kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR – Seorang pelajar Kolej Vokasional Kerian maut dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang ketika mangsa sedang menunggang motosikal di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang, mangsa Mohamad Ridzuan Abdul Rani, 18, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini dari pekan Kuala Kurau sebelum sebatang pokok kelapa di kanan jalan tiba-tiba tumbang mengenai kepalanya dan meninggal di lokasi.

Bapa mangsa Abdul Rani Amran, 46, berkata, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan pulang selepas menyiapkan tugasan Kolej Vokasional Bagan Serai di pekan Kuala Kurau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dimaklumkan oleh jiran mengenai kejadian itu ketika berada di Parit Buntar lalu bergegas pulang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau Mohd Azhar Azmuni berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.04 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan lapan anggota dan dua buah kenderaan.

“Ambulans yang tiba membuat pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini