KUALA LUMPUR 2 Mac – PKR mengakui Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walau bagaimanapun berdasarkan hujah akademik, partinya itu telah menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika Dr. S. Streram dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
“Sebenarnya PKR sudah menang di Rantau masa itu malah undi DUN itu untuk Parlimen Rembau yang dimenangi Khairy Jamaluddin, BN telah kalah. Maksudnya Tok Mat (Mohamad) telah kalah kalau dibenarkan pemilihan.
“Itulah bukti, angka tak boleh bohong, walaupun kita mengakui Tok Mat kuat pengaruhnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Sulung Lukisan-Lukisan Badariah Abdul Hamid di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu berkata, Biro Politik PKR akan membentangkan persiapan parti itu termasuk mengenal pasti calon yang akan bertanding PRK DUN Rantau, kepada Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH), Sabtu ini.
Kata beliau, Biro Politik PKR memberi peluang kepada pimpinan parti peringkat negeri dan cabang untuk membentangkan persiapan serta mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.
“Kita belum menentukan lagi calon. Kita telah terima kerusi akan ditandingi di DUN Rantau mengikut status quo iaitu PKR yang bertanding tetapi masuk sebagai PH,” katanya.
PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak rayuan Mohamad berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi itu dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah. – UTUSAN ONLINE.










