KUALA LUMPUR 2 Mac – Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan mereka selepas berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia Super 300 Terbuka Jerman.
Pasangan negara itu melangkah ke aksi empat terbaik selepas menundukkan pilihan keempat dari China, He Jiting-Du Yue 23-21, 21-16 untuk berdepan cabaran pilihan kelapan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang mara selepas mengetepikan pilihan kedua dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-10, 14-21, 21-19.
Perseorangan wanita negara yang juga juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei turut menempah slot empat terbaik selepas menundukkan pilihan keempat dari Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen 21-19, 19-21, 21-16.
Kejayaan itu menyaksikan Jin Wei bakal membuat perhitungan bersama pilihan kedua dari Jepun, Akane Yamaguchi yang menyingkirkan rakan senegaranya yang juga pilihan kelima, Sayaka Takahashi 21-19, 22-20.
Dalam aksi terakhir mereka di Malaysia Masters, sebelum ini, Jin Wei berjaya meraih kemenangan pertamanya ke atas Yamaguchi selepas enam pertemuan dan sudah pasti pemain berusia 19 tahun itu mahu mengulanginya sekali lagi bagi menempah aksi final.
Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus melakar kejutan dengan menempatkan diri di separuh akhir selepas menyingkirkan pilihan kelapan yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 22-20, 21-18.
Keputusan itu menyaksikan mereka akan berdepan tentangan pilihan kedua dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe yang mengenepikan cabaran satu lagi pasangan negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 23-21, 21-12.
Sze Fei-Nur Izzuddin sebelum itu turut melakar kejutan besar dengan menyingkirkan pilihan ketiga dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong 21-16, 17-21, 21-16 untuk ke suku akhir dan ia merupakan pencapaian terbesar mereka apabila berjaya menundukkan pasangan yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia buat kali pertama.
Harapan untuk menyaksikan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah ke separuh akhir tidak kesampaian selepas tewas 18-21, 20-22 kepada pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien Chen manakala Soong Joo Ven juga terkandas di suku akhir selepas tunduk 13-21, 21-18, 15-21 kepada wakil Denmark, Hans Kristian Vittinghus.-UTUSAN ONLINE











