KUALA LUMPUR 2 Mac – PKR menegur pemimpin Pas supaya mengikut nilai asas dan ajaran Islam iaitu tidak boleh berbohong.
Jelas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pengajaran yang boleh diambil daripada dakwaan Pas membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown itu adalah setiap pembohongan akan terbongkar .
“Semakin hari semakin terdedah. Apabila kita berbohong sekali, kita akan berbohong kali kedua untuk menutup pembohongan pertama. Kita bohong kali ketiga untuk menutup pembohongan kedua dan pertama kemudian kita bohong kali keempat untuk tutup bohong ketiga kedua dan pertama, itu yang berlaku sebenarnya.
Berita berkaitan:
“Lebih mudah kalau Pas ambil pendekatan berterus terang sahaja apakah penyelesaian luar mahkamah itu dibuat dengan membabitkan bayaran-bayaran tertentu kerana bayaran tak semestinya daripada poket atau akaun Presiden Pas, bayaran boleh sahaja dalam bentuk individu yang diutuskan untuk broked the deal (membatalkan rundingan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Pameran Sulung Lukisan-Lukisan Badariah Abdul Hamid, hari ini.
Semalam, Rewcastle-Brown mengesahkan menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu berkata, PKR menyerahkan kepada warganet untuk menilai dakwaan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan iaitu akaun bank dan cek tersebut palsu.
Kata beliau, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga akauntan bertauliah telah mengesahkan akaun tersebut wujud dan mengenal pasti nama pemegang akaun itu.
“Beliau (Rafizi) cuba memasukkan RM10 ke dalam akaun itu ternyata berjaya. Jadi isu sama ada akaun itu palsu atau tidak telah terjawab. Rewcastle-Brown juga mengesahkan menerima bayaran itu. Peguamnya juga mengesahkan transaksi itu telah berlaku dengan sempurna.
“Kalau Rewcastle-Brown sudah dapat duit, peguam dia pun mengesahkan transaksi berjaya, mana wujudnya akaun itu palsu, yang dakwa akaun itu palsu Nasrudin dan yang mengesahkan adalah Rafizi akauntan bertauliah, Rewcastle-Brown dan peguamnya sendiri,” katanya.
Warganet di laman sosial Facebook mempersendakan video Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mendedahkan cek pembayaran saman Pas kepada Rewcastle-Brown selain membandingkan tarikh dan nombor cek tersebut adalah berbeza. – UTUSAN ONLINE.











