PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2018 akan dikeluarkan pada 11 Mac ini.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing pada tarikh tersebut mulai pukul 12 tengah hari.
“Calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Di samping itu, calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) dengan menaip STPM RESULT
Mereka juga boleh berbuat demikian secara atas talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan di laman http://www.mpm.edu.my.
Pada peperiksaan STPM tahun lalu, seramai 42,849 calon telah hadir menduduki peperiksaan itu di 677 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 42,476 atau 99.13 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 162 (0.38 peratus) calon sekolah swasta, 195 (0.45 peratus) calon persendirian individu dan 16 (0.04 peratus) calon sekolah kerajaan negeri. – K! ONLINE











