LONDON 2 Mac – Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Watford, Sadio Mane mahu rakan sepasukannya memanggilnya Cristiano Ronaldo.
Mane berjenaka bersama rakan sepasukannya supaya dirinya dipanggil Ronaldo selepas berjaya memainkan peranan cemerlang menggantikan Roberto Firmino.
Mane meledak dua gol bagi membolehkan pendahulu Liga Perdana Inggeris membelasah Watford 5-0 untuk mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Manchester City.
Firmino terlepas aksi itu selepas mengalami kecederaan buku lali dan Jurgen Klopp meminta Mane untuk mengisi tempat pemain Brazil itu.
Bintang Senegal itu sedia untuk memainkan peranan selaku penyerang sekali lagi, jika rakan sepasukannya memanggilnya Ronaldo.
“Sejujurnya saya agak terkejut. Saya tidak pernah bermain dalam posisi itu. Saya sangat gementar,” kata Mane.
“Saya melihat ke arah rakan sepasukan, sambil tertawa saya kata kepada mereka untuk mempercayai saya.
“Panggil saya Ronaldo atau Firmino selepas ini,” katanya.-AGENSI











