Anda ada anak bawah umur 18 tahun? Saya ada. Selalu kita berfikir bahawa insya-Allah tiada apa yang akan berlaku kepada kita pada masa sekarang. Kita percaya akan mati pada umur tua nanti. Anak-anak kita masa itu sudah pun dewasa dan mereka boleh menjaga diri sendiri. Kita selalu lupa bahawa kita hanya mampu merancang, yang menentukan ialah Allah. Biasa berlaku perancangan kita tidak sama dengan perancangan Allah.
Saya mahu kongsi kisah Fazil, seorang kontraktor muda. Fazil berkahwin dengan Fazura dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Maisarah, 7, dan Maizurah 6 bulan. Mereka keluarga bahagia. Ibu bapa Fazil telah lama meninggal dunia dan dia cuma ada seorang adik lelaki tunggal iaitu Fazli. Pasangan muda ini masih di dalam proses membeli rumah pertama mereka. Manakala duit simpanan ada sedikit di akaun bank.
Satu hari ketika pulang daripada bercuti, berlaku kemalangan. Fazil, Fazura dan Maizurah maut di tempat kejadian. Hanya Maisarah yang terselamat. Fazli mengambil tanggungjawab penuh untuk menjaga Maisarah, si anak yatim piatu. Segala keperluan dan urusan Maisarah yang masih bersekolah diuruskan oleh Amira, isteri Fazli. Mereka sangat menyayangi Maisarah kerana pasangan ini belum memperoleh anak.
Sebagai penjaga Maisarah, segala sumbangan derma orang ramai selepas kemalangan itu diterima oleh Fazli dan dikreditkan ke dalam satu akaun khas yang dibuka atas nama Maisarah. Fazli pula bertindak sebagai pemegang amanah.
Oleh kerana Maisarah masih di bawah umur, Fazli yang boleh mengeluarkan wang daripada akaun itu bagi tujuan menyara kehidupan dan keperluan Maisarah. Jumlahnya mencecah ratusan ribu ringgit. Fazli bertekad untuk melaksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin. Maisarah dijaga dengan penuh kasih sayang. Tidak berapa lama kemudian, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki.
Fazli bekerja sebagai seorang eksekutif manakala isterinya Amira seorang suri rumahtangga. Tinggal di Kuala Lumpur dengan kos hidup yang tinggi. Mereka selalu kehabisan wang sebelum sampai hujung bulan. Perbelanjaan juga bertambah selepas kelahiran anak lelaki mereka. Mereka juga mula hilang tumpuan terhadap Maisarah. Segala kasih sayang kini tertumpah kepada bayi lelaki mereka.
Melihat wang berjumlah ratusan ribu ringgit di dalam akaun Maisarah, Fazli dan Amira mula lupa diri dan bertindak mengeluarkan wang daripada akaun itu sedikit demi sedikit dengan memindahkannya ke dalam akaun peribadi. Oleh kerana Maisarah tiada waris lain, pasangan ini merasakan tiada siapa yang akan menyekat mereka daripada menyalahgunakan akaun tersebut.
Kehidupan mereka yang dulunya sempit dan selalu kehabisan wang, kini mulai mewah apabila Fazli menggunakan wang di dalam akaun Maisarah untuk kegunaan peribadi dan keluarganya. Mereka pergi melancong dan berbelanja dengan mewah. Mereka bukan tidak tahu wang itu adalah milik Maisarah dan mereka hanya pemegang amanah sahaja tetapi wang telah mengelabui mata mereka.
Kebajikan Maisarah sedikit sebanyak mulai terabai. Akhirnya selepas tidak sanggup lagi memelihara Maisarah, dia dihantar ke rumah anak yatim atas alasan pasangan ini ingin berhijrah ke luar negara.
Kisah itu sangat tragis. Sudahlah anak yatim piatu tanpa kasih sayang ibubapa, masa depan Maisarah juga gelap kerana wang yang diperuntukkan untuknya kini sudah habis semuanya.
Dari segi hukum faraid, harta pusaka adalah milik Maisarah (setengah bahagian) dan Fazli sebagai waris tunggal lelaki (setengah bahagian). Namun derma orang ramai itu dimaksudkan untuk Maisarah iaitu anak bawah umur Fazil selepas kemalangan berlaku . Fazli hanyalah pemegang amanah yang menguruskan akaun itu.
Inilah risiko yang diambil oleh semua pasangan muda. Mereka tidak merancang harta sekarang kerana merasakan ‘masa’ belum sampai untuk meninggalkan dunia yang fana ini. Akibatnya, bila berlaku kematian, nasib anak yatim bawah umur yang ditinggalkan akan terjejas.
Risiko ini boleh dielak jika pasangan muda ini pada masa hidupnya telah melantik wasi dan pemegang amanah harta yang terdiri daripada syarikat amanah profesional untuk menguruskan harta anak-anak di bawah umur jika berlaku sesuatu kepada mereka.
Syarikat amanah yang dilantik boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan hak menjaga wang derma tadi bagi pihak Maisarah. Di bawah Akta Pemegang Amanah 1949, syarikat amanah boleh menggunakan budi bicaranya untuk membayar wang sara diri pada jumlah yang munasabah kepada penjaga Maisarah iaitu Fazli. Ini dapat mengelakkan risiko wang itu disalahguna.
ARIFFIN SABIRIN adalah pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad










