SEOUL 1 Mac – Sebuah kapal kargo milik Rusia yang dikendalikan seorang kapten yang dipercayai mabuk, hilang kawalan dan merempuh Jambatan Gwangan di Busan, semalam.
Strait Times melaporkan, sebuah video yang disiarkan agensi berita Yonhap menunjukkan struktur atas kapal kontena tersebut melanggar jambatan berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu namun menurut Yonhap, kapten kapal tersebut cuba melarikan diri daripada ditangkap.
Hasil ujian yang dibuat oleh Pengawal Pantai Korea Selatan mendapati, bacaan alkohol sebanyak 0.86 peratus dikesan terkandung dalam darah kapten tersebut.
Kadar tersebut melebihi bacaan 0.3 peratus yang dibenarkan undang-undang Korea Selatan sebagai tahap boleh diambil oleh pengendali kapal ketika bertugas.
Dalam pada itu, kapal pengangkut yang memiliki berat sebanyak 6,000 kilogram (kg) itu dijadualkan akan belayar ke Vladivostok, Rusia.
Jambatan Gwangan merupakan jambatan kedua terbesar di Korea Selatan dengan jarak sehingga 7.4 kilometer (km).
Ia turut menjadi destinasi pelancongan terutamanya pada waktu malam kerana persekitarannya yang diwarnai cahaya lampu mempersonakan. –AGENSI











