Azharina mula belajar pakai tudung - Utusan Malaysia

Azharina mula belajar pakai tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas tampil berselendang sejak lebih dua minggu lalu, Rabu lalu penyanyi Azharina Azhar mengejutkan peminat apabila memuat naik gambarnya dalam Instagram dengan imej bertudung litup.

Azharina, 34, yang dihubungi Kosmo! bagaimanapun mendedahkan dia belum sepenuhnya bertudung, sebaliknya dalam proses untuk belajar untuk ke arah tersebut.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu, hatinya terjentik untuk berubah selepas diuji Allah dengan sakit teruk sehingga hampir lumpuh baru-baru ini. Sejak itu, Azharina nekad untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, dia enggan melakukan sesuatu perubahan secara drastik, sebaliknya memilih agar fasa penghijrahan tersebut berlaku secara perlahan-lahan.

KOSMO!: Adakah Azharina sudah kembali kepada fitrah, berhijrah dengan bertudung penuh seperti dalam gambar yang dimuat naik menerusi Instagram baru-baru ini?

Azharina: Saya belum pakai tudung sepenuhnya lagi. Cuma sejak dua minggu lalu saya telah mula keluar ke tempat awam dengan memakai selendang. Boleh dikatakan saya dalam proses belajar memakai tudung.

Apakah yang membuatkan anda ingin bertudung?

Semua manusia ada keinginan untuk bermuhasabah diri apabila sampai pada peringkat umur tertentu. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan keinginan untuk menjadi ibu dan manusia yang lebih baik. Saya fikir, Allah masih sayangkan saya dan menggerakkan hati saya untuk berubah.

Jika ingin berubah mengapa tidak terus bertudung penuh?

Saya tidak mahu ada sebarang penyesalan, jadi saya memilih untuk tidak melakukan perubahan secara drastik. Sebaliknya, biarlah perubahan itu berlaku secara perlahan-lahan.

Adakah perubahan tersebut berlaku selepas anda diuji dengan sakit sehingga dimasukkan ke hospital baru-baru ini?

Ya, memang saya sakit dan dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan Rota Virus baru-baru ini. Seumur hidup, saya tidak pernah sakit seteruk itu sehingga tidak boleh berjalan dan hampir lumpuh.

Saya tersedar mungkin sakit merupakan cara Allah menegur supaya kembali dekat kepada-Nya. Saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya dan memberi ujian sebegitu. Namun, saya memohon ruang dan masa untuk melakukan perubahan dalam diri.

Apakah kebimbangan terbesar anda apabila mahu melakukan perubahan tersebut?

Saya bukanlah baik sangat, tetapi saya tidaklah jahat. Cuma untuk berubah (bertudung) saya memikirkan tentang karier nyanyian. Adakah saya akan diterima baik oleh peminat? Namun, selepas memikirkan secara mendalam, saya membulatkan hati untuk berubah demi diri sendiri. Saya yakin jika karier nyanyian terjejas kerana perubahan yang dilakukan, Allah akan beri rezeki lain yang lebih baik.

Mungkin anda boleh berkongsi harapan anda berhubung penghijrahan ini?

Saya mengakui sedang belajar memakai tudung dan berharap agar tidak diketawakan atau dikecam netizen. Sebaliknya, saya harap mereka memberi sokongan dan mendoakan agar hati saya terus kuat untuk kekal berubah ke arah yang lebih baik.

Boleh kongsikan tentang perkembangan terbaharu konsert anda yang bakal berlangsung pada 29 Jun depan?

Alhamdulillah tiket konsert, Queen of Soul telah terjual sebanyak 70 peratus. Saya amat bersyukur, walaupun tenggelam timbul dalam industri muzik, saya mempunyai peminat yang kuat.

Rasa terharu apabila terdapat peminat yang tinggal di luar negara sanggup pulang ke Malaysia semata-mata mahu hadir ke konsert berkenaan, walhal saya berasa diri amat kerdil jika hendak dibandingkan dengan penyanyi popular lain yang turut mengadakan konsert pada tahun ini.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Queen of Soul pada 29 Jun depan di Teater Shah Alam, Shah Alam, Selangor anda masih boleh berbuat demikian dengan layari laman web www.atlasoneevents.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini