SHAH ALAM 1 Mac – Dua lagi ahli geng samun bermotosikal yang aksi jenayah mereka tular di media sosial minggu lalu ditahan polis, menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diberkas ketika ini adalah empat orang.

Kini, polis Selangor sedang giat mempertingkatkan usaha bagi memburu saki-baki ahli geng itu dan yakin kesemua penjenayah tersebut akan dicekup dalam masa terdekat hasil maklumat rakan mereka sendiri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tangkapan dua suspek itu dilakukan semalam hasil maklumat yang diperolehi dari dua rakan suspek yang ditahan sebelum ini.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci tangkapan itu.
“Hasil siasatan terhadap dua lelaki yang ditahan terlebih dahulu mendapati mereka terlibat dalam kes itu. Keempat-empat suspek yang ditahan berusia 20 hingga 30-an,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada kumpulan suspek ini terlibat dalam kegiatan samun di negeri lain selain Selangor.
Media sebelum ini melaporkan, tiga kes samun dan cubaan samun berlaku di Klang, Kuala Langat dan Puchong membabitkan antara enam hingga lapan lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan parang. – UTUSAN ONLINE











