KUALA LUMPUR 1 Mac – Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. (Utusan) mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM144.2 juta dalam suku keempat 2018 berbanding kerugian RM5.4 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.
Utusan berkata, kerugian yang lebih tinggi itu dicatatkan selepas mengambil kira peruntukan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebanyak RM47.1 juta, rosot nilai penghutang sebanyak RM37.2 juta serta rosot nilai hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM25.5 juta.
Bagi tahun kewangan berkakhir 31 Disember 2018, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM186.7 juta berbanding kerugian RM7.5 juta bagi tahun 2017.
“Kerugian lebih tinggi yang direkodkan ini berikutan penurunan pendapatan sebanyak 21 peratus dan peningkatan kos operasi sebanyak 50 peratus.
“Ini termasuk peruntukan VSS sebanyak RM81.1 juta serta rosot nilai penghutang serta hartanah, loji dan peralatan keseluruhannya berjumlah RM66 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dengan perubahan struktur milikan Kumpulan Utusan serta pelaksanaan VSS, Lembaga Pengarah positif kumpulan dijangka mampu bangkit semula daripada krisis kewangan yang dihadapi.
“Utusan akan terus mengatur strategi untuk menstruktur semula perniagaan dan operasi termasuk merasionalisasi struktur kos bagi menjamin kemapanan perniagaan kumpulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











