SUBANG JAYA – Kelicikan tiga lelaki tempatan menyembunyikan beberapa buah tong gas yang dicuri di sebuah setor tinggal di sini tidak berpanjangan selepas setor berkenaan diserbu polis pada 18 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pihak polis turut berjaya menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Subang.
“Sehari sebelum serbuan dilakukan ketiga-tiga suspek telah mencuri sebuah lori dengan muatan 50 buah tong gas di sebuah pusat simpanan gas di SS15 di sini sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM4,500.
“Mereka kemudiannya membawa kesemua tong gas berkenaan ke sebuah setor tinggal di kawasan Bandar Sunway yang merupakan ‘port lepak’ ketiga-tiga suspek,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Menurut Risikin, ketiga-tiga suspek di tahan di dua lokasi berasingan hasil daripada aktiviti risikan yang dilakukan.
“Dua suspek telah berjaya ditahan di sekitar kawasan Sungai Way manakala seorang lagi suspek telah ditahan di sekitar kawasan Kelana Jaya pada 18 Februari lalu.
“Hasil soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa pihak polis ke sebuah setor tinggal di Bandar Sunway, lokasi di mana ketiga-tiga suspek menyembunyikan tong gas yang dicuri sebelum dijual, ” ujar beliau.
Risikin berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebanyak tujuh buah tong gas telah dijual oleh suspek kepada pelanggan yang terdiri daripada individu persendirian serta pemandu-pemandu lori gas mengikut harga pasaran semasa.
“Semakan ke atas ketiga-tiga suspek juga mendapati kesemua mereka memiliki beberapa rekod lampau melibatkan jenayah samun, pecah rumah serta penyalahgunaan dadah,” jelas beliau.
“Kesemua suspek telah direman selama lima hari sehingga hari ini dan proses permohonan sambung reman sedang dilakukan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE











