KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular merompak sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita di dalam lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras dua minggu lalu akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun, tertuduh G.Thinathayaalan, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penyelenggara penghawa dingin didakwa telah merompak serta mendatangkan kecederaan terhadap pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, dengan niat melarikan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit serta wang tunai RM400.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dalam lif MRT Taman Mutiara, Cheras pada pukul 6.45 pagi pada 14 Februari lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah kejam selain perbuatan itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sehingga menjadi tular di media sosial.
Dalam prosiding itu tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak membuat sebarang rayuan.
Mahyon kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. – K! ONLINE
Video oleh AMIR KHALID











