ADA benar juga kata Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu sudah, sebahagian masyarakat kini tidak begitu ambil berat perihal politik di negara ini.
Mereka, kata Presiden PKR itu lebih berminat untuk bercerita tentang kos sara hidup dan tadbir urus yang baik.
Cuma di sebalik anggapan Anwar itu, hakikatnya mempolitikkan banyak perkara dan isu adalah perkara biasa sebagai seorang ahli politik dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat. Dan sudah tentu untuk kebaikan politik diri.

Apapun kategori menteri terbabit, yang penting adalah apabila seseorang menjadi ahli politik, ia akan kekal sebagai ahli politik.
Menangkis tohmahan, propaganda dan psywar adalah cabaran yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli politik. Hujah-hujah yang diterampilkan mesti dekat di hati.
Mendiang Bob Hope, seorang penghibur Hollywood pernah bergurau tentang ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.
Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak.
Dan dalam suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan berakhir Jumaat ini, respons warganet terhadap pemansuhan tol dari 11 malam hingga 5 pagi lebih banyak bernada sinikal – antaranya, ‘asal jangan tak bagi’, ‘burung hantu’, ‘mat rempit’, ‘kaki disko’.
Yang cenderung positif pula menganggap pemansuhan itu suatu permulaan yang baik, sambil mengungkapkan “kita (Pakatan Harapan) masuk gear 3 hujung tahun’.
Cuma, sebahagian kita pasti teringat pemansuhan empat tol di tiga negeri berkuat kuasa 1 Januari 2018 – suatu keikhlasan menunaikan janji, bukan untuk menang undi, tetapi demi rakyat.
Pemansuhan berkenaan membabitkan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau di Selangor; Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di Johor.
‘Gajah sama gajah berjuang, pelanduk…”
SEORANG juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform.”
Goebbels merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.
Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.
Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, harus diterima kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.
Realitinya, tindakan menyebar berita palsu, memutarbelitkan fakta dan faktor untuk tujuan tidak sah, jahat dan politik kotor atau dengan matlamat kepentingan diri dan kumpulan sendiri boleh digolongkan sebagai ‘salah maklum’ atau dalam bahasa Inggerisnya misinformation.
Penerangan palsu atau jenis informasi yang tidak tepat ini memberi makna atau impak yang sama dengan informasi yang benar-benar menerangkan, mendidik atau menambah nilai hidup manusia.
Dan dalam usaha menggerakkan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan cara hidup rakyat Malaysia, banyak ranjau perlu ditempuh.
Harus diakui, bukan suatu kerja mudah untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anggota-anggota Kabinetnya memperjelaskan semua ini, khasnya kepada akar umbi erti cabaran serta pembaharuan-pembaharuan yang difikir, dicadang dan dilaksanakan.
Dengan rakyat yang semakin ‘celik mata’ kian mampu membezakan antara fakta dan auta, ditambah pembangkang Barisan Nasional/UMNO-Pas pula yang bukan sembarangan, semua ini menuntut Kabinet untuk berdaya tahan lasak.
Cuma rakyat haruslah bijak timbang-timbangkan dari terjerumus ke dalam ‘politik putar alam’. Dan agar dijauhkan daripada menjadi mangsa ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’.
Kisah Goebbels patut menjadi teladan di kemudian hari.











