Kekal hukuman mati - Utusan Malaysia

Kekal hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN
perlu mengekalkan hukuman gantung sampai mati khusus bagi kesalahan jenayah berat. Tindakan ini bagi memberi keadilan setimpal kepada mangsa serta ahli keluarganya bersesuaian dengan prinsip keadilan sejagat iaitu setiap nyawa harus dibalas dengan nyawa. Ia tidak sepatutnya wujud sebarang kompromi dalam perkara ini.

Tidak dapat dinafikan masih terdapat pelbagai kes jenayah berat yang berlaku dalam masyarakat kita melibatkan pembunuhan, serangan berbentuk seksual, rompakan bersenjata, penyalahgunaan dadah, dan lain-lain. Ada di antara mangsa yang terlibat terdiri daripada warga emas, wanita, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak.

Kaedah yang dilihat masih sesuai digunakan adalah dengan mengenakan hukuman berat terhadap pelaku jenayah iaitu hukuman gantung sampai mati. Hukuman yang kecil atau ringan terhadap kesalahan jenayah berat sudah pasti tidak akan membawa keadilan sewajarnya kepada mangsa serta ahli keluarga mereka. Isu ini tidak harus dipandang ringan kerana ia melibatkan hak serta prinsip keadilan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pihak yang menyokong pemansuhan hukuman mati berpendapat ia tidak berkesan dalam menghentikan kadar jenayah selain keputusan untuk menentukan hidup atau matinya seseorang manusia tidak seharusnya diberikan kepada pihak kerajaan dan hakim dalam mahkamah. Mereka juga berpendapat risiko ketidakadilan boleh berlaku dalam proses pengadilan terhadap pesalah.

Memandangkan kes yang melibatkan jenayah berat masih berlaku dalam negara, adalah penting supaya pihak kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan hukuman mati ini. Satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati ini perlu ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang undang-undang jenayah, ahli akademik, agamawan, NGO serta ahli keluarga mangsa dan waris penjenayah.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan Undang-undang USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN