PASIR GUDANG 28 Feb. – Enam lelaki termasuk dua disyaki tokan dadah ditahan menerusi satu serbuan di satu Ladang Getah di Jalan Masai Lama, di sini petang semalam.
Tangkapan dilakukan pihak polis antara pukul 3.30 hingga 6 petang susulan maklumat diterima berkenaan lokasi tersebut yang sering dijadikan lubuk penagih.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Norazam Shaari berkata, pihaknya menahan enam lelaki berumur 39 hingga 47 tahun, dua daripadanya disyaki pengedar dadah.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui sejumlah dadah dalam pemilikan mereka. Dadah yang ditemui adalah heroin dengan anggaran berat kasar 27.26 gram dan syabu 0.61 gram,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menrut Norazam, ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat.
Beliau berkata, perintah reman bagi membantu siasatan untuk kesemua suspek juga sudah diperoleh membabitkan dua seksyen yang berbeza.
“Dua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan direman selama enam hari sehingga 5 Mac ini.
“Sementara empat lagi suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akan direman selama tiga hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE











