KUALA LUMPUR 28 Feb. – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini melancarkan Laluan Tambahan Bas GO-KL Laluan Hab Titiwangsa-Mindef di Hentian Bas Pekeliling, Jalan Pangkor, Titiwangsa Sentral di sini. Khalid berkata, laluan kelima yang dijenamakan sebagai Laluan Jingga (Orange Line) sepanjang 10.4 kilometer (km) itu akan melalui Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Padang Tembak, Jalan Bukit Keramat, Persiaran Gurney, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Pahang. “Antara jajaran laluan tersebut meliputi kawasan kompleks kerajaan, hospital, universiti, sekolah dan kawasan perumahan antaranya, Istana Budaya, Institut Jantung Negara (IJN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kementerian Pertahanan (Mindef). “Dengan adanya perkhidmatan bas percuma GO-KL di laluan strategik, ia dapat mengurangkan beban warga kota dan kesesakan trafik yang terpaksa ditempuhi pada waktu puncak,” katanya. Tambah beliau, sekiranya sambutan di laluan itu menggalakkan pihaknya akan menambah beberapa laluan lain untuk kemudahan pengguna. Perkhidmatan Bas Percuma GO-KL mempunyai empat laluan sedia ada di laluan Menara Berkembar Petronas (KLCC)-Bukit Bintang, Pasar Seni-Bukit Bintang, Hab Titiwangsa-KL Sentral dan Hab Titiwangsa-Bukit Bintang. Sementara itu perkhidmatan bas berkenaan di laluan Program Perumahan Rakyat (PPR)-Transit Aliran Ringan (LRT) Kerinchi akan dilancarkan pada 1 April ini. – UTUSAN ONLINE











