Perlis kekal tersingkir - Utusan Malaysia

Perlis kekal tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Harapan Perlis untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak kesampaian selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan penggantungan Singa Utara.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam selepas meneliti dokumen sokongan kewangan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi proses rayuan penyertaan mereka dibatalkan pada 20 Februari lalu.

Keputusan penyingkiran Perlis sebelum ini diambil kerana skuad Singa Utara itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam proses rayuan kali ini, antara dokumen yang diminta MFL adalah jumlah wang penajaan yang akan didepositkan dalam akaun escrow (pihak ketiga) dengan akuan peguam, selain perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan aspek kewangan.

Menurut MFL, firma undang-undang kemudiannya perlu mengesahkan jumlah wang penajaan dan mengeluarkan surat kepercayaan kepada MFL yang menyokong bahawa akaun mereka sememangnya mempunyai dana.

“Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu dengan Sekretariat MFL pada 26 Februari lalu untuk mengemukakan dokumen bagi tujuan rayuan bersama penaja berpotensi Perlis.

“Perlis dimaklumkan bahawa surat daripada peguam itu mesti menunjukkan jumlah wang di dalam akaun. Perlis turut dimaklumkan bahawa ia tidak boleh menjadi surat untuk mengatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.

“Dalam mesyuarat itu, Perlis merayu untuk kekal dalam Liga Premier dan menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai Liga M3 (amatur) kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja mereka.

“Setelah mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh PFA, surat daripada peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8 juta jika rayuan Perlis dibenarkan.

“Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja sebenar dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.

“Justeru Lembaga Ahli Pengarah MFL memutuskan untuk menolak rayuan Perlis dan keputusan untuk menyingkirkan Perlis daripada Liga Premier 2019 dikekalkan,” kata MFL dalam satu kenyataan, hari ini.

Perlis sebelum ini digugurkan daripada Liga M selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain manakala PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini