Kerajaan suntik dana RM3 juta kepada YAKEB - Utusan Malaysia

Kerajaan suntik dana RM3 juta kepada YAKEB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan serta suntikan dana RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, inisiatif ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan yang telah menabur jasa dan bakti membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan buat para atlet/bekas atlet kebangsaan yang telah berjuang memartabatkan arena sukan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bantuan serta kemudahan perubatan dan kesihatan ini merupakan komitmen kerajaan yang signifikan terhadap kebajikan dan kesihatan atlet/bekas atlet kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan termasuk rawatan pesakit luar dan dalam di semua premis kesihatan kerajaan bagi atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara dan setara.

Turut layak mendapatkan kemudahan berkenaan juga adalah atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan bukan teras tetapi pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara atau setara adalah layak sekiranya dipersetujui oleh jawatankuasa penilaian dengan perakuan Ketua Pengarah MSN.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata suntikan dana RM3 juta kepada YAKEB menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada bekas-bekas atlet kebangsaan.

“Dengan adanya inisiatif ini, kerajaan berharap kebajikan atlet/bekas atlet kebangsaan sentiasa terbela,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN