KUALA LUMPUR 27 Feb. – Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua dilantik probono sebagai Penasihat Khas Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkuat kuasa 1 Mac ini.
Perkara itu diumumkan oleh Baru dalam kenyataan hari ini.
“Beliau adalah seorang yang berpengalaman luas, berperwatakan dan berprinsip.
“Selain itu beliau aktif dan mempunyai hubungan yang baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dan dalam negara serta mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin negara, sama ada dalam kerajaan atau luar kerajaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Baru turut memberitahu kelayakan akademik Tian Chua, antaranya mempunyai ijazah dalam bidang sains pertanian daripada Universiti Sydney, Australia, dan ijazah dalam bidang pengkhususan sejarah dan falsafah daripada Universiti New South Wales, Sydney, Australia.
Tian Chua merupakan Naib Presiden PKR sejak 2011 dan juga bekas Ahli Parlimen Batu untuk tempoh dari tahun 2008 hingga 2018.
Kedua-dua Baru dan Tian Chua dikatakan berada dalam kem yang sama iaitu berpihak kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN ONLINE











