Lupakan Liga M 2019 - Utusan Malaysia

Lupakan Liga M 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Biarpun dijanjikan penajaan jutaan ringgit daripada sebuah syarikat, namun jaminan kewangan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) masih tidak cukup untuk menyelamatkan Singa Utara dalam Liga Malaysia (Liga M).

Menurut sumber dalaman MFL, potensi Perlis untuk kembali dalam Liga Perdana hampir ‘kosong’ atas pelbagai faktor.

Bagaimanapun, sumber tersebut enggan mengulas lanjut berhubung faktor yang menggagalkan misi Perlis, sebaliknya hanya menjelaskan jaminan yang diberikan oleh PFA tidak cukup meyakinkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Senang cerita, mereka (Perlis) susah hendak masuk (Liga Perdana) sebab macam-macam hal telah berlaku,” ujarnya ringkas sambil mengakui tidak pasti bila MFL akan mengumumkan keputusan rayuan Perlis.

Menerusi keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 20 Februari lalu, penyertaan Perlis dalam aksi Liga Perdana dibatalkan selepas mendapati Singa Utara tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Susulan daripada itu, PFA menghantar dokumen sokongan kepada MFL pada hari terakhir mengemukakan rayuan, semalam.

Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya telah menyerahkan segala dokumen berkaitan rayuan yang dikehendaki MFL dan menyerahkan kepada ahli lembaga pengarah badan tersebut membuat keputusan akhir.

Dalam masa sama, dia turut memaklumkan mengenai penaja yang sedia membantu mereka namun enggan mendedahkan jumlah tajaan buat skuad Singa Utara itu.

Utusan Malaysia difahamkan, Perlis sudah mendapat penaja baharu dari sebuah syarikat iaitu Tulangis Group dengan jumlah tajaan dikatakan bernilai RM3juta.

Syarikat tersebut sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan Hanelang dan Terengganu City, selain dikaitkan mahu menaja Kelantan United.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN