KLANG 27 Feb. – Seorang duda yang mencetuskan suasana tegang dengan meletakkan berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah di sini diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia di Perak untuk pemeriksaan psikiatri.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh dua majistret berlainan selepas mendapati pengakuan bersalah Helmee Othman, 28, tidak selamat untuk diterima.
Terdahulu, di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman, duda anak empat itu mengaku bersalah mencemarkan Surau Sabilul Huda dengan meletakkan berhala agama Buddha serta Hindu sehingga mendatangkan keaiban kepada agama Islam di antara pukul 4 petang, 20 Februari dan 2.45 petang, 23 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Sementara itu di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin, Helmee didakwa mencuri patung sembahyang di sebuah rumah di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran di antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Peguam Nur Aida Md. Zainuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menyemak dahulu kewarasan dan akal anak guamnya sebelum menerima pengakuan bersalah itu.
“Orang yang waras serta normal tidak melakukan perbuatan yang sensitif itu iaitu (melibatkan) kepercayaan agama. Mungkin anak guam saya mengalami halusinasi dan difahamkan menerima arahan daripada mimpi. Saya percaya mahkamah mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengarahkan tertuduh melalui pemeriksaan psikiatri di hospital,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung permintaan pihak pembelaan itu dan menyatakan tidak ada sebarang bukti yang boleh menyokong fakta bahawa tertuduh mengalami masalah mental.
Mahkamah, selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh, mengarahkan lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk pemeriksaan. Kes akan disebut semula pada 27 Mac ini.











