Calon BN lapor polis isu kain rentang - Utusan Malaysia

Calon BN lapor polis isu kain rentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 27 Feb. – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zaka­ria Hanafi hari ini membuat laporan polis berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih, sejak awal pagi tadi.

Menurut Zakaria, beliau menyedari terdapat kain-kain rentang yang turut mengaitkan dirinya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor itu ketika sedang bersarapan di pekan Beranang.

“Kami sedari banyak kain rentang di tepi jalan utama, jadi di pihak saya ini melibatkan peribadi. Ini provokasi menye­rang peribadi saya, kenya­taan ini bukan saya buat. Saya pegang prinsip kita berkempen secara bersih dan sihat, gentle­men-lah” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Zakaria lagi, kain-kain rentang itu didapati turut digantung di Bandar Seri Putra, Batu Lima Bangi serta di Seri Jenaris, Kajang.

Sementara itu, menerusi laporan polis tersebut, Zakaria memberitahu, kain-kain ren­tang provokasi itu antaranya memaparkan tulisan ‘Undilah BN jika ingin rompakan Rosmah berulang’ dan ‘Saya janji bawa Rosmah jika BN menang di Semenyih’.

“Kain rentang digantung pihak tertentu itu turut memaparkan gambar saya. Oleh itu saya tegaskan tidak menempah, memasang atau mengarahkan mana-mana indvidu atau kumpulan tertentu untuk memasang kain rentang berunsur provokasi tersebut.

“Tujuan saya buat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN