SABAK BERNAM 27 Feb. – Kisahnya umpama ‘hidup segan mati tak mahu’.
Disebabkan permintaan merosot, kini hanya tinggal 10 orang sahaja pemandu teksi di daerah ini yang masih lagi mengharapkan pekerjaan tersebut untuk menyara keluarga.
Lebih menyedihkan, sejak bertukar tampuk pentadbiran negara, hidup 10 pemandu teksi Sabak Bernam itu semakin perit kerana tiada lagi bantuan RM800, baucar tayar dan subsidi minyak seperti sebelum ini.
Seorang pemandu teksi, V. Kanippan, 72, berkata, keadaan sekarang jauh berbeza berbanding empat tahun lalu yang bukan sahaja pemandu teksi masih ramai tetapi saingan daripada Uber pun tiada.
“Pendapatan sebagai pemandu teksi memang tidak menentu. Purata sehari antara RM50 hingga RM70. Namun, ada kalanya, langsung tiada pelanggan.
“Dengan pendapatan tidak seberapa inilah saya peruntukkan untuk perbelanjaan harian keluarga dan bagi menampung kos penyelenggaraan teksi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Mohd. Zaini Roslan, 65, berkata, pendapatan yang tidak menentu menyebabkan kerjaya itu tidak menjadi pilihan.
“Dalam seminggu adalah sekali atau dua dapat hantar pelanggan ke luar daerah ini seperti ke Kuala Lumpur. Jadi dapatlah RM200 untuk satu perjalanan,” katanya.
Tambah Mohd. Zaini, antara punca jumlah pendapatan pemandu teksi merosot adalah disebabkan pelanggan ketika ini mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan awam lain seperti bas percuma yang disediakan kerajaan negeri.
Menyentuh beberapa bantuan yang diterima pemandu teksi semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Mohd. Zaini berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan perkara itu.
“Saya sendiri pernah menerima bantuan RM800, baucar tayar serta subsidi minyak dan berharap ia diteruskan, bagi meringankan beban pemandu teksi,” katanya.











