Bencana lombong, ramai terperangkap - Utusan Malaysia

Bencana lombong, ramai terperangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 27 Feb. – Tiga terbunuh manakala lebih 43 lagi dikhuatiri terperangkap dalam kejadian runtuhan tapak perlombongan emas haram di Bolaang Mongon­dow, Sulawesi Utara, semalam.

Jumlah yang terperangkap bagaimanapun belum dapat disahkan bagaimanapun laporan mengatakan terlibat lebih 60 orang.

Portal Detik.com melaporkan, seramai 14 lagi diselamatkan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tapak perlombongan emas haram di kawasan hutan yang mengambil masa dua jam dari Desa Bakan Kecamatan Lolayan runtuh selepas kayu alang dan papan sokongan yang digunakan patah secara tiba-tiba.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Bolaang Mongondow, Abdul Muin Paputugan berkata, setakat ini tiga orang disahkan maut.

“Seramai 14 mangsa yang selamat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun sebahagian telah pulang ke rumah masing-masing kerana hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Bolaang Mongondow adalah antara daerah Sulawesi Utara yang kaya dengan sumber galian seperti emas, besi, tembaga dan belerang.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa telah bertindak menutup kawasan itu namun penduduk kawasan berkenaan bertindak menceroboh dan melakukan aktiviti melombong secara haram pada waktu malam.

Abdul Muin seperti dipetik dari Reuters memberitahu, pihaknya dapat mendengar suara mereka yang terperangkap dalam runtuhan tersebut dan percaya ramai yang masih hidup.

Jelasnya, operasi SAR perlu dilakukan secara manual kerana lokasinya yang curam dengan kedalaman terowong sejauh 50 meter.

“Kita kesan masih ramai yang hidup kerana mendengar suara mereka dan terdapat ruang dalam lumpur tersebut yang membolehkan udara ke­luar masuk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini