Nasi goreng tsunami jadi tarikan - Utusan Malaysia

Nasi goreng tsunami jadi tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 27 Feb. – Tsunami yang melanda Pataya, Thailand pada 2004 telah menjadi inspirasi seorang bekas cef eksekutif di beberapa buah hotel dan resort memperkenalkan menu nasi goreng tsunami di restorannya di Taman Universiti di sini.

Mohd. Ali Imran Alias, 38, lepasan Diploma Kulinari Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) berkata, menu yang menjadi signature dish atau juadah identiti restorannya kini menjadi pilihan ramai pelanggan yang ingin mencuba nasi goreng dibanjiri makanan laut seperti udang dan kepah selain ayam dan daging.

Ketika ditemui di restoran­nya, Warung ‘D’ Keramat di Jalan Pendidikan 6, Taman Universiti di sini, Mohd. Ali berkata, nasi tsunami itu sengaja dibuat besar bagi memuaskan hati pelanggannya yang turut terdiri daripada pelajar sebuah universiti berhampiran mengisi perut sebelum kembali ke asrama ma­sing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nasi goreng tsunami ini merupakan nasi goreng pataya dibanjiri kuah pes tomyam resipi sendiri dan sos nampla bagi mencetuskan rasa nikmat masam pedas yang diminati pe­langgan.

“Sebagaimana tsunami membanjiri laluannya, begitu jugalah dengan juadah ini dibanjiri kuah dan hidupan laut seperti udang dan kepah menepati tema yang diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dia yang juga pakar masakan Itali berkata, ramai kalangan pe­langgannya bertandang kembali ke restorannya membawa bersama rakan-rakan dan ahli keluarga supaya dapat menikmati nasi goreng banjir yang penuh dengan udang dan kupang itu.

Mohd. Ali yang menuntut di Institut Hospitaliti KPYPJ pada 1999-2001 berkata, selain nasi goreng tsunami, restorannya turut menyediakan char kuetiau bersarang yang mana kuetiau berkuah dan berlauk itu beralaskan mihun goreng.

Dia yang pernah menyediakan masakan untuk bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultan Johor berkata, kedua-dua juadah tersebut ditawarkan pada harga sangat berpatutan iaitu RM8 sepinggang.

Selain dua juadah yang menjadi identiti restoran ini, Warung ‘D’ Keramat turut menyediakan hampir 40 jenis masakan Me­layu setiap hari antaranya siput sedut, kari daging, kari ikan, babat masak lemak, asam pedas, ulam-ulaman, ikan salai lemak pisang muda yang diimport dari Indonesia dan pelbagai aneka sayur-sayuran.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, Mohd. Ali pernah menjadi cef di beberapa buah restoran dan hotel seperti Piccolo Mondo (restoran Itali), Pear International Hotel Kuala Lumpur, A’ Farmosa Resort Melaka, Pulai Spring Resort Johor Bahru dan beberapa buah lagi restoran terkenal.

Seperkara menarik, Mohd. Ali turut dibantu adik perem­puannya yang juga seorang bekas cef di sebuah hotel di bandar raya ini.

Selain Warung ‘D’ Keramat, Mohd. Ali turut memiliki sebuah restoran Nasi Lemak Kukus Kayu Keramat yang terletak berhampiran.

Seorang lagi adik Mohd. Ali yang juga bekas cef de Partie di Kuala Lumpur City Centre Hotel (KLCC) turut membantu menyediakan juadah ‘mi rachun’ di Restoran Nasi Lemak Kukus Kayu Keramat itu.

Warung ‘D’ Keramat dibuka dari 7 pagi hingga 1 pagi pada setiap hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN