PASIR GUDANG 27 Feb. – Penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Ke-24 yang bermula hari ini sehingga 3 Mac ini dijangka menarik kehadiran seramai lebih 300,000 pengunjung.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani berkata, jumlah tersebut melibatkan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, sebanyak 45 negara luar serta empat buah negara baharu termasuk Malaysia menyertai FLLSPG.
“Empat negara baharu itu ialah Colombia, Bulgaria, Hungary dan Venezuela yang mana ini merupakan kali pertama mereka menyertai FLLSPG sejak diadakan.
“Sepanjang lima hari penganjuran FLLSPG ini, kami menjangkakan kehadiran seramai 300,000 pengunjung yang terdiri daripada rakyat tempatan dan luar negara,” katanya ketika ditemui di lokasi penganjuran festival tahunan itu di Bukit Layang-Layang di sini hari ini.
Festival yang bertemakan Keindahan Budaya itu turut menyaksikan penglibatan seramai kira-kira 240 peserta antarabangsa yang menyertai pelbagai kategori disediakan.
Penganjuran tahun ini turut menyediakan pelbagai tarikan baharu termasuk Persembahan Inspitari Joget Wau Merak, persembahan LED Stringless Butterfly dan persembahan LED Stunt Kite.
Selain dihiburkan dengan pertunjukan dan bengkel layang-layang, pengunjung juga berpeluang menyaksikan barisan artis popular tanah air membuat persembahan.
Pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah enak yang dijual di 300 tapak gerai yang disediakan sepanjang lima hari festival tersebut berlangsung.










