RAUB 27 Feb. – Seorang wanita yang baru 23 hari mendirikan rumah tangga maut, selepas kereta dinaiki bersama ibu dan bapa tirinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, Isuzu Dmax yang terbabas ke laluan bertentangan di Kilometer 32, Jalan Raub-Mempaga di sini kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang melangsungkan perkahwinan pada 2 Februari lalu di Dewan Penjara Bentong dekat sini tinggal bersama keluarga kerana suaminya bekerja di Johor.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Farhana Othman, 25, yang memandu kereta Perodua Myvi dan ibunya, Ramlah Saad, 60, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa tirinya berusia 73 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan cedera parah.
Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama ibu dan bapa tirinya dalam perjalanan balik ke rumahnya di Felda Klau di sini dari Bentong.
“Apabila sampai di tempat kejadian sebuah kereta pacuan empat roda yang dipercayai dipandu laju terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
“Kejadian menyebabkan mangsa dan ibunya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.
Menurut Wan Mohd. Zahari, bapa tiri mangsa dan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang cedera ringan kini dirawat di Hospital Raub.
Ujarnya, mayat kedua-dua mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pemandu pacuan empat roda akan ditahan dan diambil keterangan serta dilakukan pemeriksaan air kencing bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya.











