MARANG 27 Feb. – Seorang surirumah dari Taman Perumahan Bukit Sawa, Zakiah Yahya, 61, memenangi hadiah tempat pertama cabutan bertuah bagi pembayar cukai pintu Majlis Daerah Marang (MDM) yang diadakan di sini pagi ini.
Dalam majlis berkenaan, Zakiah yang tidak pernah menjangka kemenangan itu menerima hadiah sebuah motosikal jenis Honda Wave.
Tempat kedua dimenangi oleh Dr. Rahayu Tahir dari Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung yang mendapat hadiah mesin basuh jenis panasonic.
Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh See Hwee Jin dari Taman Aquarius Chendering yang memenangi sebuah peti televisyen jenis panasonic.
Sebanyak 28 hadiah disampaikan kepada pemenang dalam majlis tersebut yang melibatkan pembayar taksiran cukai pintu rumah kediaman di daerah ini.
Lain-lain hadiah yang disediakan termasuklah telefon bimbit, seterika, vakum, oven dan pembakar roti.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang Dipertua MDM, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim.
Yang turut hadir Pegawai Daerah ini, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. – UTUSAN ONLINE.











