Duda anak empat mengaku salah curi, cemarkan surau - Utusan Malaysia

Duda anak empat mengaku salah curi, cemarkan surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan seorang duda anak empat mencuri berhala dan mencemar tempat ibadat minggu lalu memakan diri apabila didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini. 

Tertuduh, Helmee Othman, 38, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman dan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Lelaki itu yang merupakan penganggur didakwa atas dua pertuduhan mencemarkan Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang di sini dengan mengetahui mana-mana orang mungkin menyifatkan pencemaran itu sebagai satu keaiban kepada agama mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 20 Februari lalu di antara pukul 4 petang hingga 4.15 petang dan 23 Februari di antara pukul 2.30 petang hingga 2.45 petang.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Helmee turut didakwa mencuri patung sembahyang milik seorang lelaki berusia 51 tahun di sebuah rumah di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran di antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menyemak dahulu kewarasan dan akal anak guamnya sebelum menerima pengakuan bersalah itu.

“Orang yang waras serta normal tidak melakukan perbuatan yang sensitif itu iaitu kepercayaan agama. Mungkin anak guam saya mengalami halusinasi dan difahamkan menerima arahan daripada mimpi (letak berhala di surau).

“Saya percaya mahkamah mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengarahkan tertuduh melalui pemeriksaan psikiatri di hospital,” katanya. 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari menjelaskan di bawah Seksyen 344 (5) Kanun sama, pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan sekiranya tertuduh mempunyai masalah mental.

“Namun, pada peringkat ini tidak ada sebarang bukti samada dalam bentuk dokumen atau lain yang boleh menyokong fakta bahawa tertuduh mengalami masalah mental.

“Bagaimanapun terserah kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya memutuskan pengakuan bersalah tertuduh tidak selamat untuk diterima seterusnya ditolak.

Selain itu, tertuduh juga diarah dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan untuk pemeriksaan kesempurnaan akalnya.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mac depan. 

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan seorang penganggur terdorong meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang pada Rabu dan Sabtu lalu selepas bermimpi melihat Kaabah yang dikelilingi patung berhala.

Perkara itu terbongkar selepas polis menjalankan soal siasat ke atas suspek berusia 38 tahun yang diberkas di rumahnya yang terletak 200 meter dari surau itu pada pukul 6.15 petang, Ahad lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN