PUTRAJAYA 27 Feb. – Program My Best Buy (MBB) 2.0 dan jualan terus dari ladang bakal diperluaskan ke 33 lokasi baharu seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, antara lokasi baharu yang akan ditembusi adalah di institut pengajian tinggi, pejabat kerajaan, projek perumahan rakyat serta kawasan perumahan.
“Pengguna dapat menikmati jualan istimewa produk sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk ikan segar serta makanan laut dengan penjimatan pembelian sebanyak lima sehingga 20 peratus daripada nilai pasaran.
“Selain itu terdapat juga jualan barangan keperluan harian, makanan popular serta agrotruck,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program My Best Buy 2.0 dan jualan terus dari ladang di Wisma Tani, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Mengulas lanjut Mohd. Sallehhuddin berkata, program yang diperkenalkan sejak 2014 itu telah beroperasi di 131 lokasi seluruh negara dengan melibatkan seramai 2,746 usahawan.
Sejak itu katanya, MBB telah mengumpul nilai jualan sebanyak RM49.6 juta sehingga akhir Januari tahun ini.
“Sepanjang Januari tahun ini sahaja, MBB telah mencatat nilai jualan sebanyak RM1.29 juta di seluruh negara manakala nilai sasaran bagi 2019 adalah RM16 juta. Pada minggu ini, MBB dijalankan serentak di semua lokasi bermula 25 Febuari lalu hingga 3 Mac ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











