KOTA KINABALU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesan sebanyak 36 titik panas sepanjang Februari berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan selain aktiviti pembakaran terbuka tidak terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarahnya, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak 500 peratus berbanding hanya tujuh titik panas direkodkan sepanjang Januari di bahagian Pedalaman, Pantai Barat Sabah dan Kudat.
“Punca peningkatan titik panas ini antara lain disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti pembukaan dan pembersihan kawasan tanah dengan melakukan pembakaran terbuka.
“Pembakaran tidak terkawal ini menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan sekeliling termasuk hutan simpan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Tunku Khalkausar berkata, sepanjang minggu ini sahaja, sebanyak sembilan titik panas dikesan masing-masing di Keningau (tiga titik panas), Kota Belud (dua titik panas), Papar (dua titik panas) serta satu titik panas dikesan di Beaufort dan Tawau. – Bernama











