PULAU PINANG 27 Feb. -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan kelas C di kawasan berhampiran Muka Head di sini kelmarin kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut ditahan kira-kira 19 kilometer dari Barat Muka Head oleh kapal peronda milik Maritim Malaysia kira-kira pukul 2.41 petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 30 tahun bersama tiga orang awak-awak warga Thailand yang kesemuanya lelaki berumur 30,39 dan 51 tahun berada di atas bot tersebut.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 24 kilometer dari pantai terdekat,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











