LONDON 27 Feb.- Pengurus Liverpool, Juergen Klopp meminta pemainnya lebih menumpukan pencapaian positif mereka menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL), berbanding memikirkan kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini.
Dengan liga masih berbaki 11 perlawanan, The Reds kini hanya mempunyai kelebihan satu mata ke atas pencabar terdekatnya, Manchester City ekoran tiga keputusan seri dalam empat aksi EPL .
Namun, Klopp tidak mahu memikirkan peluang yang disia-siakan sejak beberapa minggu ini, sebaliknya meminta anak buahnya tidak melepaskan peluang untuk menjulang kejuaraan liga selepas kali terakhir melakukan pada 29 tahun lalu iaitu musim 1989-90.
“Biasanya dalam situasi di mana anda boleh menjadi juara buat kali pertama dalam hidup anda, bagi ramai penyokong ia mungkin yang pertama dalam hidup mereka, begitu juga ramai dalam kalangan pemain saya, ia peluang terhidang.
“Anda perlu merebut peluang dengan segala yang anda perlu lakukan dalam bola sepak,” katanya menjelang kunjungan Watford ke Anfield awal pagi esok. – AFP











