PASIR PUTEH 26 Feb. – Kira-kira 100 asnaf hadir ke Program Makanan Percuma anjuran Kelab Volenteer I Care (VIC) Pasir Puteh di Kedai Makan Papa Om Selising, dekat sini, hari ini.
Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata berkata, mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising; SMK Bukit Jawa; Madrasah Ihya Ulumudin Wakaf Berangan dan penduduk kampung yang terpilih.
Menurutnya, pemilik kedai makan berkenaan yang dikenali sebagai Papa Om menaja makanan percuma sebagai sumbangan sosial kepada golongan miskin.
“Program ini adalah sebahagian peluang untuk mendekati golongan asnaf, anak-anak yatim dan mereka yang layak dibantu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, dekat sini, hari ini.
Muhammad Afiq Aiman berkata, bukan semua orang dapat dan pernah menikmati hidangan makan yang enak, lazat dan seimbang.
“Sekurang-kurangnya asnaf yang terlibat ini dapat merasai hidangan ini seminggu sekali di samping berpeluang mendapatkan barangan seperti seluar sekolah, telekung sembahyang dan barangan-barangan yang sepatutnya diterima oleh mereka.
“Program seumpama ini juga berjaya merapatkan hubungan silaturahim di antara ahli kelab kami sebagai jambatan hubungan dermawan yang menyalurkan bantuan,” katanya.
Katanya, VIC mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin turut serta dalam program makanan percuma ini samada melalui sumbangan kewangan atau tampil sebagai anggota sukarelawan.
“Program yang sama akan berlangsung lagi pada minggu hadapan namun bergantung kepada sumbangan dari orang ramai sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun kelab rasmi VIC 0300241100004797 (Bank Simpanan Nasional) dengan memaklumkan transaksi sumbang itu ke www.wasap.my/60199344077/Makanpercuma. – UTUSAN ONLINE











