KULIM 26 Feb. – Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya yang sedang hamil enam bulan akibat perselisihan faham dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Selasih di sini, semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 31 tahun yang mendakwa dipukul suami dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Wanita terbabit yang sedang hamil menyatakan dia berasa tertekan kerana didera secara fizikal dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Ahmad Nasir, suri rumah berkenaan membuat laporan kerana mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap suaminya itu.
“Polis kemudian berjaya menahan suspek yang berusia 34 tahun di hadapan sebuah kedai nasi kandar, di sini kira-kira pukul 1 pagi tadi,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – UTUSAN ONLINE











