DBP kongsi kepakaran dengan Perpustakaan Nasional Indonesia - Utusan Malaysia

DBP kongsi kepakaran dengan Perpustakaan Nasional Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersedia berkongsi kepakaran dengan negara jiran apabila menjalin kerjasama dengan Perpustakaan Nasional Indonesia (Perpusnas) dan Komite Buku Nasional Indonesia (KBNI) dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pengembangan bahasa Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehudin Abang Shokeran, jalinan itu terbentuk melalui lawatan kerja Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ke Jakarta apabila beliau bertemu dengan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan serta Menteri Agama Republik itu bulan lalu.

“Ia disusuli dengan pertemuan antara DBP, Perpusnas dan KBNI,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, pertemuan antara DBP dengan Perpusnas dan KBNI telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Perpusnas, Sri Sumekar, Ketua Pusat Jasa dan Informasi, Yoyo Yahyono, Ketua Bidang Transformasi Digital, Moh. Kadir serta Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Prof. Madya Dr. Mior Harris Mior Harun.

Tambah beliau lagi, ketika ini, bentuk kerjasama yang dijalankan adalah dengan DBP menyediakan insentif kepada mana-mana pustakawan atau penyelidik dari Perpusnas yang ingin menjalankan penyelidikan ke atas manuskrip Melayu.

“Kami berharap jalinan kerjasama terutama dalam bidang kajian manuskrip Melayu ini direalisasikan,” katanya.

Perpusnas adalah perpustakaan utama di Indonesia yang memiliki kira-kira 11,800 naskhah lama tentang masyarakat Melayu, termasuk tentang etnik Bugis, Sunda, Jawa dan Makassar. Kebanyakannya juga telah digitalkan untuk memudahkan akses kepada masyarakat. 

Sementara itu, Abang Sallehudin turut memberitahu, DBP akan menjalin kerjasama dengan KBNI bagi mengadakan program pertukaran pegawai bagi meningkatkan pengalaman dan pendedahan kepada kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan memorandum persefahaman dalam bidang pemasaran buku dan berkolaborasi dalam Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt di Jerman untuk mempromosikan pelbagai warisan Malaysia-Indonesia yang mempunyai nilai komersial ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN