JOHOR BAHRU 24 Feb. – Seorang bakal pengantin, Siti Rohayu Ishak, 34, sedang mencari adik kandung lelakinya untuk menjadi wali kerana akan bernikah pada 19 April ini.
Rohayu yang bekerja sebagai kerani di syarikat pembinaan di sini merancang berkahwin dengan Mohamed Noh Jinan, 36, dan memerlukan kehadiran adiknya, Muhdizamshah, 32, sebagai wali.
Menurutnya, usaha mengesan adik kandungnya sudah dilakukan beberapa tahun dahulu tetapi buntu kerana tidak mempunyai maklumat terkini mengenainya.

“Saya sudah tidak bertemu dengan Muhdizamshah sejak enam tahun lalu. Usaha mencari dan menjejakinya di kampung iaitu di Negeri Sembilan sudah dilakukan namun hampa.
“Selain itu saya juga sudah cuba bertanyakan kepada saudara-mara tetapi mereka juga tidak mengetahuinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anak sulung daripada tiga beradik dan tinggal di Taman Daya di sini itu berkata, usaha juga dilakukan menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, namun tiada siapa mengetahui tentang adiknya.
Menurutnya, bapanya sudah meninggal dunia dan kehadiran Muhdizamshah amat diperlukan sebagai wali dan sekiranya tidak bertemu pernikahan itu akan berlangsung menggunakan wali hakim.
Dia memohon sesiapa yang mengenali adiknya untuk berhubung dengannya menerusi talian 0197938183 untuk membolehkan urusan pernikahannya berjalan lancar.











