TAIPING 24 Feb. – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri mewartakan Hutan Simpan Kelip-Kelip di Sungai Sepetang di sini seluas 152.98 hektar.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, ini bagi memastikan kawasan berkenaan diurus secara sistematik.
Menurutnya, selain itu ia juga mengatasi kegiatan pencerobohan dan penerokaan secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan perbuatan khianat menebang pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip.
“Dari semasa ke semasa telah beberapa kali kawasan hutan di sepanjang Sungai Sepetang diceroboh dan diteroka secara haram dan kegiatan tersebut telah memusnah dan menjejaskan habitat kelip-kelip.
“Kesan daripada kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram, habitat kelip-kelip boleh menjejaskan industri pelancongan khususnya di Kampung Dew dan di Kuala Sepetang,” katanya.
Menurutnya, pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju mewartakan Hutan Simpan Kelip-Kelip pada November 2013.
Katanya, malah semasa pertemuan dan mesyuarat dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 19 Februari lalu, antara perkara yang dikemukakan ialah menyegerakan cadangan pewartaan kawasan berkenaan.
“Jika diwartakan, pihak berkuasa boleh menguatkuasakan peruntukan undang-undang sekiranya berlaku kegiatan pencerobohan,” katanya.
Baru-baru ini, Persatuan Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew mengesan perbuatan khianat menebang pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip di Kampung Dew di sini.
Perbuatan khianat oleh pihak bertanggungjawab itu dikesan pada 15 Februari lalu apabila sebanyak tujuh batang pokok berembang berusia antara 25 dan 35 tahun ditebang.
Perbuatan itu dibimbangi akan menjejaskan habitat kelip-kelip di sini kerana pokok berembang merupakan ‘rumah’ dan makanan tambahan kelip-kelip.











