Biar kami tentukan nasib sendiri - Utusan Malaysia

Biar kami tentukan nasib sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISI wajib menang kini dipikul di bahu pemain-pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan B Kejohanan Piala AFF B-22 berdepan Myanmar di Stadium Olimpik, Pnhom Penh petang ini.

Selepas memilih laluan berliku dengan kekalahan 0-1 kepada tuan rumah Kemboja dan seri 2-2 dengan Indonesia dalam dua aksi awal kempen ini, skuad B-22 negara kini hanya mempunyai satu pilihan sahaja untuk me­langkah ke peringkat separuh akhir iaitu mengutip tiga mata penuh ke atas Myanmar.

Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sedar nasib pasukannya kini terletak di tangan mereka sendiri selepas Malaysia ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan dengan satu mata ketinggalan di belakang Indonesia sambil mengharapkan musuh tradisi itu tewas di tangan Kemboja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas pertemuan dengan Indonesia, apa yang penting ialah kami mendapat satu mata apabila keputusan berakhir dengan seri 2-2.

“Dengan satu mata yang ada, kami masih tetap mempunyai peluang (layak ke separuh akhir) meskipun sebelum ini tewas kepada Kemboja pada aksi pembukaan.

“Kami hanya perlu mendapatkan tiga mata dalam aksi terak­hir bertemu Myanmar esok (hari ini) kerana ia mata penting buat pasukan.

“Saya menegaskan bahawa kami akan berjuang habis-habisan kerana sedar kami perlu mencapainya jika mahu meneruskan kemaraan ke separuh akhir,” kata Kim Swee kelmarin.

Pada masa yang sama, Kim Swee turut mengakui kejayaan anak-anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk menyamakan kedudukan telah menghadirkan petanda positif menjelang pertemuan dengan Myanmar hari ini.

“Kebangkitan pemain ini adalah sesuatu yang positif dan mampu menjadi penyuntik semangat apabila berdepan Myanmar nanti.

“Ini menunjukkan pemain miliki semangat juang yang tinggi dan saya harap semangat ini akan kekal hingga tamat kejohanan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini