LONDON 22 Feb. – Mesut Ozil memberi mesej kepada pengendali Arsenal, Unai Emery bahawa dia boleh diharap sejurus selepas membantu Gunners membenam BATE Borisov 3-0 dalam perlawanan kedua, peringkat 32 akhir Liga Europa hari ini.
Bintang tengah Jerman itu kembali dalam kesebelasan utama selepas digugurkan pada perlawanan pertama di Belarus, minggu lalu yang menyaksikan Arsenal kalah mengejut 1-0.
Kemenangan di Emirates hari ini membolehkan gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut layak ke peringkat 16 akhir menerusi agregat 3-1.
Beberapa hari sebelum perlawanan, Emery memberitahu Ozil masa depannya di Arsenal terletak di tangannya sendiri, dan mahu pemain itu menunjukkan prestasi lebih baik apabila diberi peluang beraksi.
“Saya beritahu Mesut, dia akan bermain dan mahu dia tunjukkan apa yang mampu disumbang kepada pasukan.
“Hari ini saya gembira, dia akhirnya memberikan apa yang kami mahu,” kata Emery.
Biarpun tidak menjaringkan gol, Ozil menunjukkan permainan yang baik untuk membantu kemenangan Arsenal.
Ketiga-tiga jaringan Gunners diperoleh menerusi Shkodran Mustafi dan Sokratis Papastathopoulos, selain gol sendiri pertahanan Borisov, Zakhar Volkov. – AGENSI











