Penjawat awam perlu dikurangkan – PM - Utusan Malaysia

Penjawat awam perlu dikurangkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Tun Dr. Mahathir Moha­mad berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Perdana Menteri membe­ritahu, jumlah terkini penjawat awam adalah seramai 1.7 juta, peningkatan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

“Apabila saya letak jawatan jumlah anggota pentadbiran ha­nya satu juta sahaja sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta, peningkatan sebanyak 700,000 lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berpendapat bahawa saiz pentadbiran kita itu terlalu besar, sebaliknya dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kita boleh kurangkan saiz ini,” kata­nya dalam sesi soal jawab ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Timbalannya, Liew Chin Tong.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir mengakui tindakan me­ngurangkan saiz penjawat awam bakal mengundang masalah pengangguran dan sosial yang tidak baik kepada negara.

“Sebab itu, kita perlu ba­ngunkan negara kita dalam bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai daripada orang kita boleh berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam kerajaan sahaja,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pendekatan kerajaan dalam memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki kesiapsiagaan yang tinggi, Dr. Mahathir berkata, cara pertahanan dan pendekatan perlu diubah dan disesuaikan dengan situasi semasa.

Ujarnya, negara kini ber­depan dengan ancaman yang kompleks serta musuh tidak dikenali yang kadang-kala wujud seperti satu bayangan.

“Dalam lain perkataan, globalisasi yang kita kaitkan de­ngan ekonomi selama ini adalah juga terkait dengan keganasan dan peperangan. Dengan itu, Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×