KUALA LUMPUR 21 Feb. – Perpecahan orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi faktor utama kepemimpinan UMNO dan Pas sebulat suara bersetuju untuk duduk semeja serta menjalinkan kerjasama politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perpecahan yang berlaku itu begitu ketara walaupun negara diperintah oleh orang dan parti Melayu.
“Apabila timbulnya kesedaran ini, maka bermulanya kerjasama antara UMNO dan Pas sekali gus akan mengubah landskap politik bukan sahaja di Semenyih tetapi di seluruh negara.
“Orang Melayu sekarang kehausan bukan hanya kuasa tapi ingin kembali meletakkan kedudukan bangsa Melayu dan Islam yang sentiasa dicabar,” katanya ketika menjadi panel jemputan Program Bicara Persada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Dr. Mohammad Agus Yusoff mengingatkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera supaya berhati-hati dengan kerjasama tersebut kerana Pas mempunyai rekod mengubah hubungan kerjasama.
“Saya hendak memperingatkan Ismail, kena tengok Pas jika nak rapat-rapat kena berhati-hati sebab takut diangkat bawa balik.
“Sebab Pas tak pernah konsisten, banyak kali melompat hubungan kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, partinya mempertaruhkan Islam sebagai landasan utama untuk menjalin sebarang kerjasama termasuk dengan UMNO.
“Kita berkawan dengan siapa pun tapi borderline (sempadan) kita adalah Islam sebagai barang pertaruhan, sebab itu kita kawan dengan DAP dulu tapi selepas menang mereka berubah jadi kita tarik hand break,” katanya.











