Rentak sepak Ola Bola berterusan - Utusan Malaysia

Rentak sepak Ola Bola berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUDUK di kerusi Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur seolah-olah berada di dalam Stadium Merdeka menyaksikan pertembungan epik secara langsung skuad bola sepak kebangsaan menentang Korea Selatan.

Suasananya dipenuhi semangat Harimau Malaya bersulam teriakkan penonton saat pemain kebangsaan bergelut membolosi gawang gol Korea Selatan demi layak ke saingan temasya Sukan Olimpik Moscow 1980.

Biarpun menyedari perlawanan tersebut lakonan pentas semata-mata, penonton tetap bersorak girang setiap kali pemain kebangsaan menghadiahkan gol untuk negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian impak karya fenomena pengarah dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina sehingga berjaya membawa penonton larut dalam emosi dalam setiap saat sepanjang pementasan.

Kembali mempersembahkan naskhah Ola Bola The Musical yang pernah dipentaskan pada tahun lalu, ternyata teater terbitan produksi Enfiniti tersebut tidak pernah kehilangan taring.

Memegang gelaran sebagai antara produksi teater termahal tempatan, Ola Bola The Musical adalah sebuah pementasan yang tinggi nilai daripada sekadar hiburan mata.

Kreativiti produksi

Tidak berlebihan jika dikatakan Ola Bola adalah penanda aras kemampuan anak tempatan menghasilkan sebuah teater bertaraf antarabangsa yang selayaknya mendapat tempat untuk dipentaskan di peringkat dunia.

Pasukan produksi Enfiniti yang diketuai Tiara bukan sahaja menyahut cabaran menghasilkan teater sukan pertama negara menerusi Ola Bola, malahan pasukan produksi memerah minda menjana idea luar kotak untuk memastikan tiada cacat cela dalam persembahan.

Pembinaan stadium mini, bilik persalinan pasukan kebangsaan dan peralatan latihan stamina ketenteraan antara pembinaan set skala mega menghiasi pentas Ola Bola.

Di sebalik penggunaan set mega, pertukaran set setiap bagi setiap babak baharu dilakukan dengan penuh tersusun tanpa kelihatan janggal di mata penonton.

Kreativiti produksi tidak terhenti dengan pembinaan set mega semata-mata apabila pasukan teknikal mencipta kejutan dengan menerbangkan sebuah helikopter tentera di dalam ruang legar Istana Budaya.

Menambah elemen teruja dalam hasil produksi Ola Bola juga, imej tiga dimensi harimau belang yang berlari sehingga keluar daripada skrin membuatkan penonton menjerit kagum.

Edisi Ola Bola The Musical pada tahun ini mengekalkan hampir keseluruhan tunggak utama dengan penambahan keluarga baharu yang kali pertama menyertai keluarga besar muzikal berkenaan.

Pelakon

Pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), Nabilah Huda turut terlibat dalam pementasan pada tahun ini.

Tidak memegang sebarang watak utama, Nabila bagaimanapun dilihat mencabar keupayaan lakonannya di pentas dengan membawakan pelbagai watak.

Muncul pada awal persembahan sebagai tukang sapu, kemudian bertukar menjadi penyokong pasukan Indonesia dan jururawat, Nabila jelas menjiwai setiap watak tanpa cela.

Biarpun sekadar muncul sebagai watak tambahan dalam beberapa babak, kewibawaan aktres Munafik itu tidak boleh dipandang enteng apabila turut menyanyi dan menari dalam setiap watak berkenaan.

Selain Nabila, turut terbabit dalam pementasan Ola Bola edisi 2019 ialah Tony Eusoff yang watak sebagai Coach Harry Mountain dan pelakon Hafeez Mikhail dengan watak penyerang kebangsaan dari Sabah bernama Eric.

Sementara itu, antara pelakon yang kekal dengan watak pementasan teater yang lalu ialah Iedil Putra yang cemerlang menjayakan watak Rahman.

Menyentuh sedikit mengenai perwatakan Rahman, dia merupakan lambang cita-cita anak kampung memecah kebiasaan penyampai sukan pada era penyiaran zaman tersebut yang terperangkap dengan cara penyampaian formal.

Bagaimanapun, sepanjang tiga jam persembahan berlangsung, Iedil mencabar profesionalismenya sebagai pelakon menerusi dua watak iaitu Rahman, si pengulas sukan dan penyampai naratif ada masa sama.

Berbekalkan hanya mesin rekod sepanjang babak, dia berjaya berinteraksi dengan penonton tanpa kekok. Hilai tawa penonton berkumandang setiap kali Iedil melontarkan dialognya.

Kekal dengan dialog laras era 1980-an, Iedil menjayakan watak sebagai Rahman dan pencerita dengan berkesan.

Watak sebelas pemain skuad negara pula mengekalkan Brian Chan sebagai Kapten Tauke atau Chow Kwok Keong dan Luqman Hafidz sebagai Ali.

Selain kedua-dua pelakon itu, Jiah Wen yang melakonkan watak pemain simpanan iaitu Ah Chai dan Abi Manyu (Spiderman Muthu) kekal memeriahkan pentas Ola Bola.

Masih mengekalkan konflik sama seperti pementasan terdahulu, lakonan setiap pelakon kali ini membuktikan keserasian antara mereka.

Selain penampilan Brian, sudah tentu kelibat Altimet yang membawakan watak sebagai Sarjan Ahmad pasti dinantikan peminat.

Tidak ketinggalan, watak Uncle Wong yang dijayakan oleh Douglas Lim juga tanpa gagal mengundang hilai tawa.

Usai tamat persembahan, peluang bertemu empat mata dengan Tiara, wanita penuh kreativiti itu menzahirkan perasaan teruja sepanjang menonton teater garapan sendiri.

Impian Tiara

Sambil meletakkan tangan pada bahagian dada, dia tersenyum menatap wajah setiap teraju Ola Bola sambil berkata: “Saya sangat berpuas hati.”

Sewaktu diberi peluang mementaskan Ola Bola buat kali kedua di Istana Budaya, Tiara mengakui berdepan tekanan kerana khuatir dengan jangkaan penonton.

“Ramai beranggapan mudah untuk melakukan pementasan yang sama pada kali kedua, sebenarnya projek ini tidak semudah yang disangka.

“Saya berbincang secara serius dengan pasukan produksi memikirkan penambahbaikan dalam pementasan pada kali ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar suai pementasan berlangsung.

Sempat berkongsi impiannya, Tiara memasang angan-angan menempatkan Ola Bola The Musical setaraf persembahan Broadway pada masa akan datang.

Biarpun akur impiannya sukar digapai, perkara tersebut bukan sesuatu yang mustahil.

“Biarpun belum pernah ada sebuah teater sukan terutama bola sepak dipentaskan di pentas Broadway. Saya tetap ada keyakinan. Teater seumpama ini hanya dibikin oleh kami,” jelasnya.

Sambung Tiara, pihaknya ada menerima jemputan beberapa penganjur yang berminat untuk mementaskan muzikal berkenaan di luar negara.

“Kami ada terima jemputan seperti dari Singapura tetapi masih dalam peringkat perancangan, tidak membabitkan sebarang perbincangan serius,” dedahnya.

Kali kedua dipentaskan di Istana Budaya, Ola Bola The Musical terbitan produksi Enfiniti kekal cemerlang menyentuh emosi penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×