KUALA TERENGGANU 21 Feb. – Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) bakal memperluaskan model koperasi kariah masjid ke Indonesia, Kemboja, Laos dan Singapura dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini keempat-empat negara berkenaan menunjukkan minat tinggi terhadap konsep koperasi kariah masjid yang berasaskan komuniti serta mampu meningkatkan ekonomi ummah.
Katanya, ia susulan kejayaan koperasi kariah masjid di negara ini yang mampu menjana pendapatan untuk masyarakat setempat.
“Kita mempunyai kira-kira 500 koperasi kariah masjid di seluruh negara yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti peruncitan dan perkhidmatan.
“Ada di antara koperasi kariah masjid itu mampu menjana perolehan sehingga RM1 juta setahun. Antara yang berjaya ialah Masjid Geliga dan Masjid Binjai di Kemaman serta Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Perniagaan Anggota Koperasi Terengganu di sini semalam. – UTUSAN ONLINE











