Polemik sijil akademik, gelaran palsu - Utusan Malaysia

Polemik sijil akademik, gelaran palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM situasi kita sebagai manusia, ada keadaan tertentu apabila kita merasa bimbang dan ragu-ragu untuk berada dalam kumpulan atau bertemu dengan individu tertentu.

Kita merasakan sangat kerdil apabila berhadapan dengan orang lain atau dalam erti kata lain, seolah-olahnya merasa tidak setaraf dengan orang atau kumpulan yang ditemui tadi.

Dalam psikologi, fenomena seperti ini dinamakan sebagai kebimbangan sosial. Ia umumnya berlaku kepada kebanyakan orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melihat semula kepada beberapa kes penipuan ijazah universiti atau darjah kehormat yang sering sahaja berlaku dalam masyarakat, mungkin kita perlu bertanya, adakah gejala ini kerana fenomena berasa ragu-ragu berinteraksi dengan orang lain atau sememangnya ia berniat mengelirukan orang ramai?

Bayangkan begini. Adalah sangat mustahil untuk kita bertemu dengan petani atau nelayan yang akan mendakwa mereka mempunyai ijazah dari universiti tertentu.

Sebaliknya, banyak daripada kes penipuan ijazah atau gelar ini biasanya berlaku kepada individu yang selalunya dianggap sebagai berjaya dalam masyarakat.

Banyak daripada mereka ini ialah personaliti yang dikenali, baik yang bergelar usahawan, pakar motivasi atau ahli politik.

Secara logiknya, golongan ini ialah mereka yang kerap berinteraksi dengan pelbagai latar masyarakat.

Besar kemungkinan juga kerana mereka berasa akan dilihat sebagai ‘tiada apa-apa’ jika mereka diketahui tidak mempunyai tahap pendidikan tertentu atau tidak dikurniakan gelar yang membolehkan mereka dipandang tinggi.

Sebaliknya, sebagai petani atau nelayan, mereka tidak perlu berinteraksi dengan sebegitu kerap dengan orang lain yang lebih tinggi darjatnya berbanding mereka.

Maka, tidak perlulah lagi mereka menipu dengan gelaran atau anugerah tadi. Bahkan, ia mungkin juga tidak berguna dalam konteks kehidupan mereka.

Impresi diri

Kebimbangan sosial ini pula selalunya dikaitkan dengan impresi diri.

Dalam erti kata yang lain, bagaimana kita menilai diri sendiri untuk diperagakan di hadapan orang lain.

Ahli psikologi percaya, manusia secara umumnya akan selalu memiliki beberapa sifat utama iaitu motivasi untuk menarik perhatian orang lain, membandingkan diri dengan orang lain dan memberikan perhatian terhadap diri sendiri.

Sebab itulah, kita biasanya akan mengubah cara berpakaian atau berbual sesuai dengan khalayak yang ditemui.

Misalnya, apabila berbual dengan ahli perniagaan, kita akan lebih banyak bercakap dengan hal yang berkaitan ekonomi.

Sebaliknya, kita mungkin akan mengubah topik perbincangan apabila berbincang dengan ahli akademik agar perbualan itu dilihat lebih intelektual dan bijak.

Bagaimanapun, hal seumpama ini jarang berlaku apabila kita berinteraksi dengan ahli keluarga atau rakan terdekat.

Ini kerana kita tahu bahawa mereka tahu segalanya mengenai diri kita.

Jadi, kita tidak perlu melakukan sebarang tindakan impresi diri.

Bagaimanapun, proses impresi diri ini adakalanya mungkin tidak sempurna jika kita tidak mampu membuktikannya dengan rekod kejayaan yang dimiliki.

Misalnya, bagi pakar motivasi atau ahli politik yang selalu bercakap tentang idea perubahan atau kejayaan, mungkin akan diragui sekiranya mereka sendiri tidak memiliki pencapaian akademik yang selalunya ditakrifkan sebagai kejayaan tadi.

Ilusi

Ini bukanlah pula bermakna orang luar yang menilai mereka sebegitu.

Kebanyakan daripada proses impresi diri ini berlaku adalah disebabkan kita yang menilai diri sendiri dan bukannya orang lain yang menyatakan sedemikian.

Kita merasa rendah diri atau terlalu hebat bukanlah disebabkan oleh kata-kata orang, tetapi kitalah yang sebenarnya menciptakan ilusi bahawa orang lain sedang menilai kita dengan cara tertentu.

Disebabkan itu, ada orang yang walaupun tanpa gelar atau memiliki anugerah tertentu, mereka kelihatan biasa-biasa sahaja.

Mereka tidak berasa ragu-ragu sekalipun mereka tidak berkelulusan universiti dan memiliki ijazah universiti dalam bidang tertentu.

Sebaliknya ada pula orang yang sangat merasakan dirinya sedang dinilai dengan kelayakan akademik dimiliki, sedangkan hakikatnya tidak ada seorang pun yang mempedulikan sama ada mereka memilikinya atau pun tidak.

Pada akhirnya itulah sifat manusia. Adakalanya manusia terpaksa melakonkan diri mereka dengan imej tertentu agar dilihat hebat.

Ada pula yang terpaksa menunjukkan mereka adalah luar biasa dengan memiliki pencapaian tertentu.

Semua ini adalah bagi memastikan bahawa mereka mampu untuk mengurangkan fenomena kebimbangan sosial apabila membandingkan diri dengan orang lain.

Bagaimanapun, pada akhirnya, kita adalah diri kita yang sebenarnya. Sama ada kita menyembunyikan atau melaungkan kepada orang lain tentang kehebatan diri, individu itu lebih tahu tentang dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×