KUALA LUMPUR – Jeram Lobster Aggrotech menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang penternakan udang kara dengan modal serendah RM1,500.
Pengasas syarikat, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik berkata, terdapat tiga pakej perniagaan ditawarkan kepada mereka yang berminat dengan dibekalkan tangki politank dan benih udang kara antara 20 hingga 100 ekor yang berukuran 10.16 sentimer (sm).
Menurutnya, ia bergantung kepada bajet usahawan kerana mereka boleh memilih pakej satu hingga tiga yang mana modalnya antara RM1,500 hingga RM3,500.
“Jika mengikut cara penternakan yang betul dan penjagaan air yang baik, udang kara itu akan membesar dengan baik dan dalam tempoh dua bulan ia boleh dijual pada ukurannya bertambah lebih kepada enam inci.
“Harga jualan bagi udang kara yang berukuran lebih daripada 15.3sm ialah kira-kira RM110 sekilogram di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan media ke pusat penternakan milik Jeram Lobster di Jeram Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.
Pusat itu diusahakan di atas tanah milik syarikat perniagaan milik keluarganya dalam kawasan seluas 2.4 hektar, namun baru 0.2 hektar tanah diusahakan untuk projek penternakan tersebut.
Syarikat kini memiliki 28 tangki pelbagai jenis iaitu 10 daripadanya berupa politank, empat buah kolam tanah dan 14 yang lain terdiri daripada tangki yang diperbuat daripada simen.
Projek itu mula diusahakan pada bulan Julai tahun lalu dengan melibatkan pelaburan kira-kira RM200,000 yang meliputi kos pembelian tanah dan juga pembinaan pusat penternakan udang kara.
Tengku Muhammad Azrul Ariff menjelaskan, buat permulaan kolam penternakannya diisi dengan kira-kira 10,000 ekor benih udang kara yang bersaiz 5sm hingga 7.6sm.
Kini ia telah berjaya dituai dan jumlah benih juga bertambah tiga kali ganda pada masa sekarang.
“Hasil yang dituai akan dijual kepada peraih atau individu dan juga di restoran.
“Sehingga kini permintaan terhadap udang kara adalah sungguh menggalakkan dan kami mempelawa lebih ramai usahawan bumiputera menceburi bidang ini.
“Kapasiti pengeluaran udang kara dari pusat penternakan di sini ialah kira-kira 100 hingga 150 kilogram sebulan.
“Kami mengunjurkan untuk menambah jumlah pengeluaran kepada 500 kg pada tahun ini,” jelasnya.
Tambah beliau, antara cabaran yang dihadapi dalam bidang perniagaan ini ialah sistem air dan kualiti airnya yang mana musim hujan menjadi satu permasalahan kepada kolam ternakan udang kara bagi mengelakkan ternakan mati.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej penternakan udang kara, boleh hubungi di talian 018-384 5149.











