KUALA LUMPUR 20 FEB. – Penyokong Singa Utara sudah hilang sabar dan mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie segera meletak jawatan.
Bagi mereka, cukuplah Ahmad Amizal telah memalukan negeri ini dengan pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini sehingga nama bola sepak Perlis tercemar dan menjadi perbualan seluruh negara.
Desakan itu mula tersebar dalam laman-laman Facebook bola sepak negeri itu, malah kebanyakan penyokong yang meninggalkan komen turut menggesa Ahmad Amizal melepaskan jawatan.
Hari ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pengguguran skuad Singa Utara dari Liga Malaysia (Liga M) berkuatkuasa hari ini gara-gara kegagalan PFA menyelesaikan isu kewangan.
Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara menyingkirkan Perlis selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana itu tidak memiliki struktur kewangan kukuh untuk terus bertahan musim ini.
“Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Perdana musim ini.
“Faktor utama keputusan pembatalan Perlis disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan meyakinkan untuk terus bertahan.
“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.
MFL bagaimanapun tetap prihatin dengan masalah yang dihadapi pemain Perlis, sekali gus bersetuju melanjutkan tempoh pendaftaran mereka selama 30 hari bermula hari ini bagi memberi ruang mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran ditutup pada jam 11.59 malam ini.
Sementara itu, Facebook Perlis Northern Lions, menulis status: “Cukuplah Ahmad Amizal memainkan perasaan penyokong yang menaruh harapan tinggi untuk melihat Singa Utara kembali bangkit.”
“Dia ini (Presiden PFA) bukan setakat aniaya pemain tetapi seluruh rakyat Perlis (dipermainkan). Kita punya semangat duk berharap zaman kegemilangan Perlis kembali namun semuanya punah,” kata pemilik Facebook Yanteen Azimat di ruangan komen.
Seorang pemilik Facebook bernama Faizol Nizam turut mencabar Ahmad Amizal agar bersemuka dengan pemain dan penyokong sebelum melepaskan jawatan.
“Cukuplah, apa lagi alasan yang hendak diberikan, kami sudah cukup malu apabila semua orang bercakap pasal Perlis. Setiap hari ada sahaja cerita tidak baik pasal Perlis,” kata Ahmad Yusri Ibrahim, 25.











