JAKARTA 20 FEB. – Kehadiran Calon Presiden (Capres) Indonesia nombor 2, Prabowo Subianto di Surabaya, semalam disambut dengan insiden kekecohan yang dicetuskan penyokong Capres nombor 1, Joko Widodo atau Jokowi.
Detik News melaporkan, sejumlah besar penyokong tersebut membawa sepanduk mengalu-alukan kedatangan Prabowo sambil melaungkan sokongan kepada Jokowi.
“Jokowi wae (Jokowi sahaja), Jokowi wae, Jokowi wae, yang lain semua penipu,” laung penyokong itu.
Kehadiran penyokong Jokowi itu mengakibatkan suasana di laluan yang digunakan Prabowo sedikit tegang.
Prabowo berkunjung ke Surabaya bagi menghadiri acara di Thoriqoh Syatoniyah di kawasan tersebut.
Namun, penyokong Jokowi menegaskan kehadiran Prabowo ke daerah tersebut tidak akan mengubah pilihan mereka.
“Kedatangamu, Pak Prabowo di Bulak Kenjeran tidak akan mengubah apa pun. Wilayah Bulak Kenjeran tetap satu suara untuk Joko-Maruf,” tulis penyokong pada sepanduk mereka.
Prabowo yang di kawal ketat pengawal peribadinya kelihatan tenang duduk di dalam kereta sambil menunjukkan dua jari kepada penyokongnya dan penyokong Jokowi.
Beliau menyifatkan kekecohan dicetuskan penyokong Jokowi itu sebagai satu cara untuk menakut-nakutkannya.
Dalam perkembangan lain, Prabowo menyifatkan kes melibatkan pemuzik Indonesia, Ahmad Dhani sebagai dendam politik.
Namun, Ketua Peguam Daerah Jakarta Selatan, Supardi menyangkal dakwaan itu dan menegaskan kes berkaitan jelas menyalahi undang-undang. – AGENSI











