PEKANBARU 20 Feb. – Kebakaran hutan dan tanah telah merebak ke Riau dengan keluasan kawasan terjejas akibat bencana tersebut hampir 100 peratus dalam tempoh tiga hari sahaja.
Portal Republika.co melaporkan, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, Edwar Sanger berkata, jumlah kawasan yang terbakar kini adalah 841.71 hektar.
“Data yang dikumpul Pusat Data dan Informasi BPBD Riau menunjukkan keluasan kebakaran meningkat hampir 100 peratus dalam tempoh tiga hari.
“Keluasan tanah yang terbakar sejak 1 Januari lalu adalah kira-kira 841,71 hektar. Pada Jumaat lalu, keluasan kawasan yang terbakar hanya sekitar 497 hektar,” katanya di Pekanbaru semalam.
Menurut Edwar, Kabupaten Bengkalis adalah wilayah yang mengalami kebakaran paling teruk sepanjang awal tahun ini.
Menurut rekod, kawasan seluas 626 hektar terbakar dengan majoriti tanah gambut di salah satu daerah terkaya di Indonesia.
Jumlah itu meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga hari lalu iaitu dikeluasan 322 hektar kawasan direkodkan pada 15 Februari lepas.
Pemerintah Kabupaten Bengkalis telah status bersiap sedia dan sedang berusaha memadam kebakaran hutan dan tanah di beberapa daerah seperti Rupat, Bantan, dan Talang Muandau.
“Dua wilayah telah diletakkan pada status bersiap sedia pada masa ini iaitu Bengkalis dan Dumai,” kata Edwar.
Selain Bengkalis, kawasan lain yang turut terjejas akibat bencana tersebut adalah Rokan Hilir (117 hektar), Dumai (43,5 hektar), Meranti (20.2 hektar), Siak (lima hektar), Pekanbaru (16 hektar) dan Kampar (14 hektar).
Sementara itu, Timbalan Bahagian Pemulihan dan Pembinaan Semula Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Harmensyah ketika dihubungi berkata, kualiti udara di Dumai dan Riau adalah baik dan jelas.
“Operasi pemadaman dilakukan di darat dan udara menggunakan bom air,” ujarnya. -AGENSI











